About DAZRIN KAMARUDIN

DAZRIN KAMARUDIN

Berpeluang tunjuk bakat di bawah pengarah terkenal

SEKALI pandang pasti ramai menyangka pelakon baru yang dipertaruhkan menerusi filem Apokalips bernama Dazrin Kamarudin ialah jejaka berdarah campuran dek wajahnya yang seakan-akan orang Korea, Cina dan Jepun. Namun hakikatnya, pemuda yang baru mencecah 22 tahun itu memang anak Melayu jati. Menghabiskan separuh usia di luar negara kerana mengikut orang tuanya menyambung pengajian, akui anak didik Mamat Khalid itu, hatinya tetap di Malaysia malah destinasi yang dituju apabila cuti semester tentu saja kampung halaman tercinta.

“Walau tinggal bertahun-tahun di Amerika Syarikat seawal usia dua tahun dan kemudian berpindah ke Manchester, United Kingdom hingga pulang semula ke negara ini pada tahun 2000, saya tetap sukakan Malaysia disebabkan keharmonian serta aneka makanan yang cukup enak. “Cuma tuntutan ilmu memerlukan saya meninggalkan semula negara tercinta tanpa ditemani keluarga apabila perlu menyambung pengajian di Universiti Western Michigan yang dijangka tamat pada Disember 2011,” kata anak kelahiran Melaka yang tetap fasih berbahasa Melayu itu.

Menyingkap perjalanan hidupnya, Dazrin yang dilahirkan di Melaka dibawa ke Amerika Syarikat kerana mengikut ibu dan bapanya melanjutkan pengajian dari peringkat ijazah hingga ke Doktor Falsafah (PhD) sebelum kembali semula ke tanah air pada usia 12 tahun. Semangat ayahnya, Kamarudin Md Shah yang juga Datuk Bandar Bandaraya Melaka serta ibunya, Dr Yasmin Hussin selaku Ketua Jabatan Institut Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka sebagai pendorong untuk anak muda berjiwa cekal itu mengambil dua ijazah serentak.

“Bukan soal bijak atau sebaliknya, saya mengambil dua jurusan serentak iaitu Ijazah Filem, Video dan Media dan Ijazah Perhubungan Antarabangsa kerana minat, manakala satu lagi bagi memenuhi harapan keluarga. “Setakat ini saya mampu menggalas tanggungjawab sebagai pelajar tanpa sebarang masalah,” katanya yang mengakui tawaran membintangi Apokalips baru-baru ini ibarat bulan jatuh ke riba.

Mengimbas semula pertemuan dengan pengarah terkenal itu, katanya segala-galanya bermula sekitar Mei lalu apabila Dazrin pulang ke tanah air untuk menghabiskan cuti selama empat bulan dan kebetulan rakan mengajaknya menjalani uji bakat filem berkenaan. “Filem Apokalips berdasarkan komik manga Jepun ini cukup mencabar kerana perlu menonjolkan aksi lasak. Mujurlah saya ada asas teknik mempertahankan diri termasuk teakwando, karate dan silat hingga ada di kalangan pelakon lain meminta saya memberi tunjuk ajar.

“Dalam filem ini juga watak Chin Long perlu berbahasa Mandarin membuatkan saya sedikit gentar. Kesungguhan pelakon berpengalaman seperti Farid Kamil dan Jehan Miskin yang sedia berkongsi ilmu membolehkan saya ‘menghidupkan’ watak Chin Long,” katanya mengenai filem yang bakal ditayangkan pertengahan tahun depan itu. Selain Farid dan Jehan selaku tunjang utama, buah tangan ke tujuh Mamat Khalid itu turut membariskan Iqram Dinzly, Adam (AF2), Peter Hugh Davis, Zoey Tan, Pyan Habib, Pekin Ibrahim serta bakat baru yang juga seorang model, Miera Leyana.

Menariknya mengenai jejaka yang mempunyai ketinggian 180 sentimeter itu lagi ialah profilnya yang lebih dulu dikenali sebagai model dan kerjaya sambilan yang diminati itu membuatkan Dazrin kerap berulang alik pulang ke tanah air. “Mungkin selepas ini saya akan lebih kerap pulang sekiranya ada tawaran berlakon lagi. Apa pun saya tidak mahu terburu-buru. Kita tunggu saja Apokalips di pawagam nanti kerana filem berkenaan menjadi penentu sama ada saya layak untuk terus kekal di bidang ini atau sebaliknya,” katanya. 

Di petik dari Bagai bulan jatuh keriba

No comments:

Post a Comment